Sunday 17 February 2013

Laporan Konvensyen Pendakwah Muda


Perasmian Kempen Mahasiswa Anti Valentine's Day

Pada 3 Februari 2013, Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menghantar wakil ke program Konvensyen Pendakwah Muda IPT Asean 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Karangkraf dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

SAHAM UMP telah diwakili oleh Nornajihah Binti Mohd Ali (Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Gambang merangkap Exco Kepimpinan & Akademik SAKURA), Nur Amirah Izzati Binti Jaafar (Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Pekan merangkap Exco Informasi & Kaunseling SAKURA) serta Nurul Najihah Binti Che Razali (wakil SAKURA).

Program yang telah dilaksanakan selama sehari dengan bertemakan "Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah" bertujuan menyuburkan budaya integriti dan integrasi dalam kalangan pemimpin pelajar di peringkat kampus, disamping memupuk barisan kepimpinan yang bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma yang akan melonjakkan nama negara di masa hadapan.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat USIM, program dimulakan dengan ucaptama oleh Professor Dato’ Dr. Sidek Baba (Professor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sekitar jam 9 pagi. Beliau mengingatkan peserta untuk sentiasa bersabar dalam berdakwah dan tidak menjadi golongan yang melampau seperti mengkafirkan orang. Beliau juga turut mengingatkan bahawa para pendakwah perlu menjalankan misi dengan bijaksana dan tidak mengikut kata hati. Selain itu, pendakwah muda adalah generasi penyambung dan perlu memiliki ilmu fundamental Islam dengan pengalaman berjemaah (berorganisasi) yang sifatnya terbuka untuk menyantuni mad'u.

Seterusnya, kertas kerja yg bertajuk "Pendakwah Muda Sebagai Juru Bicara Ummah: Peluang dan Halangan" telah dibentangkan oleh mantan mufti Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Zaidi Bin Ramly. Beliau menyatakan bahawa untuk menjadi pendakwah perlu ada ilmu asas Islam, ilmu khusus dan kemahiran. Selain itu, penggunaan media baru dan teknologi kreatif juga penting dalam mendekati golongan muda. Prof. Madya Dr. Abu Hassan berkata, "Media Islam adalah media ar-Risalah; iaitu suatu proses mengkomunikasikan informasi melalui medium-medium media sama ada medium tradisi seperti akhbar, radio dan televisyen atau medium baru misalnya blog dan media sosial seperti Facebook dan Twitter dengan pelbagai isi kandungan yang sarat dengan muatan dan sosialisasi nilai-nilai Islam. Media Islam sebagai ar-Risalah boleh dikatakan sebagai ‘crusade media’ yakni media yang memperjuangkan nilai-nilai tertentu, yakni nilai-nilai Islam. Media Islam akan mengembangkan teras pemikiran dan perasaan Islam iaitu amar ma’ruf nahi munkar”.

Program ini turut diserikan dengan penampilan istimewa Imam Muda hafiz, Sham Kamikaze & Ana Raffali dengan forum yang bertajuk “Dakwah Itu Seni". Penceramah jemputan dari Singapura iaitu Tuan Haji Adnan Bin Abd Hamid dan indonesia, Encik Akmal Salim Ruhana turut hadir untuk berkongsi pengalaman dalam melaksanakan dakwah di negara masing-masing.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ali Bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM mewakili Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM sekaligus melancarkan Kempen Mahasiswa Menolak Hari Valentine’ s Day.



(NORNAJIHAH BINTI ALI)
Unit Kepimpinan dan Akademik,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Ucapan Pengerusi SAKURA


Assalamualaikum w.b.t.

Uniknya Allah s.w.t menciptakan wanita bermula dari rusuk kiri seorang lelaki. Dijadikan sebagai  isteri Nabi Adam dengan mahar selawat kepada Rasulullah s.a.w. untuk menemani kesunyian baginda di syurga. Lantaran permulaan penciptaan wanita sebagai penguat sang lelaki, wanita dicipta dengan pelbagai keistimewaan yang mana emosinya tak terjangkau, meluap-luap sehangat lava gunung berapi yang pada masa yang sama boleh menjadi sedingin ais di kutub.

 Gelaran bagi seorang wanita, “peniup obor semangat” yang berdiri di belakang tokoh perjuangan bukan semata-mata gelaran halwa bicara. Tetapi fitrahnya jelas sebagaimana hangatnya darah merah Sumayyah yang menjadi mahar ke syurga demi mempertahankan kalimah Lailahaillallah. Pengorbanan Sumaiyyah menjadi mercu tanda sejarah, pencetus syahid di jalan Allah. Teladanilah Khaulah sebagai pengobar janji perlawanan, mencetak anak-anak peminang bidadari. Menyelongkar kehebatan Aishah sebagai serikandi ilmu dengan sehamparan ingatan yang sangat menggugah, menguasai Al-Quran dan persoalan agama hingga menjadi tarikan pesona terbesar sebagai galeri ilmu yang terus menyuluh pencerahan. Ummu Nusaibah Binti Kaab mengotakan janjinya dengan menjadi perisai Nabi SAW di medan tempur Uhud (3 Hijrah) yang melakar sejarah itu. Nusaibah adalah seorang muslimat yang turut berbaiah dalam peristiwa Perjanjian Aqabah yang kedua dan tidak pernah lelah berjuang dengan barisan kaum muslimin.

Sahabat-sahabat yang disayangi Allah,

Andai pemata itu mahal, mahal lagi harga seorang wanita. Andai mawar itu harum, harum lagi motivasi dari seorang wanita. Kerana wanita itu lembut, hati yang keras boleh mencair, hati yang panas boleh bertukar sejuk dengan sebaris bicara seorang wanita. Bermula dengan hanya merawat tentera yang cedera, menyiapkan bekalan makan, minum dan pakaian para perindu syahid, mengasuh anak-anak bakal khalifah, memberi kata motivasi sehinggalah wanita berperanan sebagai pemikir dan penggerak ummah. Tangan itulah yang menghayun buaian dan tangan itu jua yang mampu mengoncang dunia.

Selaras dengan matlamat melahirkan wanita yang melengkapi ciri-ciri wanita solehah, SAKURA ditubuhkan. SAKURA pada asalnya adalah cetusan idea daripada kesedaran saf kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) akan peri pentingnya membina jambatan penghubung antara beliawanis  Universiti Malaysia Pahang yang mana mempunyai pelbagai ragam yang luar biasa kehebatannya. Apabila digabungkan pemikiran-pemikiran beliawanis ini, pasti wujudnya sebuah fenomena. Justeru SAKURA berfungsi sebagai platform untuk beliawanis di seluruh kampus UMP berkumpul, beramah mesra, menonjolkan bakat dan mengetengahkan potensi yang ada dan akhirnya menyedari peranan wanita sangat penting dan bernilai dalam agenda membangunkan agama, bangsa dan negara. Bukan sekadar meraikan wanita-wanita muda terutamanya muslimah,Sakura juga berperanan menyedarkan siswi terhadap isu semasa dan pentingnya mahasiswi dalam menyokong agama dan negara.  

Seperti mamanjat tembok, seorang menghulur, seorang memangku dan seorang memanjat,masing-masing mempunyai peranan sendiri kerana kita manusia hidup untuk saling melengkapi. Sesuatu kejayaan tidak mungkin berhasil dengan hanya bersendirian seperti bertepuk sebelah tangan pasti tidak berbunyi. Pembinaan ukhwah adalah akar kepada sebuah penghijrahan diri sebelum dapat membuat transformasi sepenuhnya. Sakura berperanan sebagai titi penghubung antara hati-hati wanita kerana dengan terbinanya ukhwah ini, jalan yang sukar terasa mudah, jiwa yang kosong akan terisi seterusnya menemukan jawapan bagi setiap persoalan yang dicari. Hidayah Allah pasti akan datang kepada insan-insan yang sentiasa berusaha mencari.

Tuntasnya, saya sebagai pengerusi unit Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA) berharap kewujudan Sakura yang keahliannya terbuka kepada semua siswi bergelar muslim ini dapat menjadi pemangkin perubahan mahasiswi dari segi mental, rohani dan jasadi. Justeru,kami sangat mengalu-alukan penyertaan dari semua mahasiswi. Sokongan dan idea penambah baikan amat kami hargai.

(AMIRA SHAZWANI BINTI RIDZUAN)
Pengerusi,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)




Ucapan Timbalan Pengerusi SAKURA


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur atas nikmatnya yang tidak terhingga, akhirnya blog SAKURA (Sayap Kiri Ummah Rabbani ) dapat digerakkan. Semoga blog yang dibina ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh kaum wanita khususnya warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) . Blog ini merupakan satu inisiatif yang kami jalankan sebagai medium perbincangan dalam isu semasa terutamanya berkaitan wanita.

Wanita pemangkin kecemerlangan ummah”. Begitulah muqaddimah ucapan saya buat sahabat sejantina saya sekalian . Sedarkah kalian wanita memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi yang cemerlang ? Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, begitu juga dengan penciptaan wanita. Kalian mempunyai kelebihan tersendiri berbanding lelaki dan dengan kelebihan yang kalian miliki mampu mencetus transformasi generasi. Bak kata pepatah tangan yang mengayun buaian mampu menggegar dunia. Ramai yang berbicara kaum wanita merupakan kaum yang lemah. Ya , memang tidak dinafikan kudrat fizikal kita lebih lemah berbanding lelaki, namun, dari sudut emosi, kasih sayang, ketelitian, kaum kita jauh ke hadapan berbanding kaum adam. Disebabkan kelebihan yang dimiliki ini Allah menganugerahkan kepada  wanita dalam urusan melahirkan anak dan pendidik yang terbaik.

Sahabat-sahabiah sekalian,

                Masih ingatkah lagi kita penindasan wanita yang berlaku pada zaman jahiliyyyah. Kaum kita ditindas , bayi perempuan ditanam hidup-hidup untuk menjaga maruah kerabat dan menganggap perempuan akan membawa sial dan malapetaka bagi keluarga. Alhamdulillah, setelah kedatangan Islam, martabat wanita diangkat tinggi dan menghapuskan segala sistem diskriminasi jahiliyyah. Islam datang sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh manusia. Namun, malangnya dasawarsa ini kaum kita diesploitasi oleh barat  dalam iklan kereta , sebagai ganjaran pertaruhan ,  dan untuk hiburan. Kita juga terpedaya dengan pelbagai fesyen melampau dari barat hingga hilang perasaan malu yang harus ada bagi seorang wanita. Sampai bila kita mahu fenomena ini terus berleluasa? Ayuh wanita, bangkitlah bersama Islam. Islam telah menaikkan martabatmu, menjaga hakmu dalam masyarakat dan menunjukkan jalan yang terbaik buatmu. Usah diagungkan budaya barat yang cuba menjajah mindamu.

Kaum hawa sekalian,

                Kembalilah pada fitrah kejadianmu. Terdidik wanita, terdidiklah generasi. Untuk mendidik generasi, perlu bermula dengan mendidik dirimu. Kaum kita harus ada ilmu. Perlu mempunyai akhlak yang terpuji, mencontohi akhlak Rasulullah, kerana dari kelembutan hatimu akan melahirkan manusia baru yang berakhlak terpuji sepertimu. Dirimu aset yang sangat penting dalam pembentukan ummah.

                Kami di pihak SAKURA akan berusaha menganjurkan program pendekatan khusus untuk mahasiswi sekalian bagi mengupas isu yang berkaitan dengan wanita dan fiqh kerahsiaan wanita. Kaum wanita kaum yang unik dan penuh dengan kerahsiaan. Seperti kata Detective Conan “Secret make a woman, woman”. Beruntunglah menjadi wanita, kerana dirimu sangat berharga. Hargai dirimu, jaga akhlakmu, jaga maruah sebagai wanita.

Sekian.

(NURDIYANA BINTI ZAHED)
Timbalan Pengerusi,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...