Tuesday 26 March 2013

Bengkel Membuat Kek


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada 16 dan 17 Mac 2013, Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA) Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Kolej Komuniti Paya Besar telah berjaya mengadakan program sulungnya iaitu Bengkel Membuat Kek yang bertempat di Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang. Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan SAKURA kepada siswi UMP disamping mengeratkan lagi ikatan persaudaraan antara ahli SAKURA itu sendiri dengan siswi UMP sama ada muslim mahupun non-muslim. Alhamdulillah, sasaran untuk mendapatkan 30 orang siswi menyertai program ini tercapai dengan jayanya. Bengkel ini dibahagikan penyertaannya kepada dua kumpulan, iaitu siswi Gambang dan siswi Pekan seramai 15 orang bagi setiap kampus. Sambutannya amat memberangsangkan bagi kedua-dua kampus.


TA'ARUF

Program berlangsung selama 7 jam iaitu dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Individu yang terlibat memberi khidmat tunjuk ajar kepada para peserta terdiri daripada tenaga pengajar Kolej Komuniti Paya Besar itu sendiri. Mereka adalah En. Mohd Afzhal Bin Abd Wahab dan Cik Nurul Jih Bt Joyosman. Antara pengisian bengkel pada hari tersebut ialah peserta diajar untuk menyediakan kek cawan dan teknik-teknik menghias kek tersebut. Sebelum bengkel bermula, peserta telah diberikan resipi kek blueberry dan coklat serta demonstrasi terlebih dahulu sebelum masing-masing diagihkan kepada 5 orang setiap kumpulan untuk membuat kek.


UKHUWAH

 Para peserta juga telah didedahkan kepada tips-tips yang berguna mengenai penghasilan kek cawan. Seusai makan tengah hari dan solat Zohor secara berjemaah, para peserta telah berkumpul untuk modul yang telah disediakan oleh AJK program. Melalui modul ukhuwah, para peserta telah diberi peluang untuk berta’aruf antara satu sama lain secara berkumpulan. Modul seterusnya, ialah ‘Resepi Kejayaan’ dimana para peserta didedahkan dengan cara memasak menurut perspektif Islam melalui perkongsian mengenai amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. ketika memasak.


PENGHARGAAN

Sebagai penutup, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua peserta dan AJK yang terlibat dalam program bengkel kek ini. Tidak dilupakan juga individu-individu dari Kolej Komuniti Paya Besar yang turut bekerjasama menjayakan bengkel ini. Di kesempatan ini, saya Nor Hidayah Bt Mohd Khairi, pemegang portfolio Setiausaha Agung bagi SAKURA merangkap pengarah bagi program Bengkel Membuat Kek ini memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan sepanjang program ini berlangsung. Yang baik, datangnya dari Allah, yang buruk juga datangnya dari Dia, tetapi disandarkan pada diri yang lemah ini. Dengan harapan, semoga ikatan ukhuwah yang terjalin antara peserta yang hadir akan berkekalan selamanya. Harapan daripada pimpinan SAKURA, semoga siswi UMP dapat terus menyokong program yang akan dibawakan SAKURA pada masa hadapan.

Nabi S.A.W. pernah bersabda; "Dan hendaklah kamu saling berpesan-pesan agar sentiasa berbuat baik kepada para wanita. Sesungguhnya mereka dicipta daripada tulang rusuk yang bengkok, dan tulang rusuk yang paling bengkok itu merupakan tulang rusuk yang paling atas, jika kamu berkeras untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya, tetapi jika kamu membiarkannya maka ia akan terus bengkok. Maka berpesan-pesanlah kamu agar sentiasa berbuat baik kepada para wanita" (Riwayat al-Bukhari).

Sekian, wallahu’alam. Salam mujahadah dan salam perjuangan buat semua insan. 

(NOR HIDAYAH BINTI MOHD KHAIRI)
Setiausaha Agung
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Friday 8 March 2013

SAKURA @ Friday Wisdom


Saudari Nuri
Alhamdulillah, pada jam 12.30PM tadi (Jumaat, 8 Mac 2013) bertempat di Mini Theater Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), sahabat-sahabat muslimat Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga terdiri daripada pelbagai perwakilan termasuk SAKURA SAHAM telah menghadiri program Friday Wisdom anjuran Exco Sahsiah dan Spiritual juga merangkap Exco Hal Ehwal Wanita, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP. Individu yang bertanggungjawab ke atas exco ini adalah saudari Nuri Adilah Nasrumillah Bt Idris dan program ini merupakan program mingguan yang dianjurkan oleh exco tersebut.


LAHAD DATU

Saudari Aini
Program telah dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab serta doa yang diketuai oleh salah seorang Sekretariat Exco Sahsiah dan Spiritual MPP UMP. Sementara menunggu kehadiran penceramah utama, saudari Nor Aini Bt Abdul selaku mahasiswi yang berasal dari Sabah memberikan sedikit perkongsian mengenai isu yang berlaku di Lahad Datu, Sabah. Beliau turut menyatakan terdapat pelbagai sumber dan pendapat mengenai isu ini. 

Namun, walau apa jua yang akan berlaku, beliau mohon agar semua sahabat yang berada di semenanjung untuk terus mendoakan keselamatan sahabat-sahabat dan saudara-mara yang berada di Sabah. Bagi yang mempunyai kenalan yang berada di sana, saudari Aini menyeru agar terus memberikan sokongan moral dan semangat kepada mereka. Tabung derma bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik juga turut diedarkan.


PENAWAR HATI

Program diteruskan dengan slot pengisian yang bertajuk "Penawar Hati". Pengisian tersebut telah disampaikan oleh Puan Anita Bt Abdul Rani, Pensyarah PBMSK UMP. Antara perkara yang ditekankan ialah berkenaan dengan bagaimana untuk menghadirkan hati yang bersih. Hati yang bersih itu datangnya dari hati yang jauh dari penyakit. Penyakit tersebut adalah HASAD. Kehadiran hasad dalam diri boleh dilihat melalui 3 tanda.

  1. Tidak nampak kelebihan yang ada pada orang lain
  2. Tiada rasa kasih dan sayang
  3. Hilang keakraban
Pn. Anita
Andainya wujud tiga perkara ini dalam diri, maka itulah yang dikatakan hati kita semakin kotor dan kronik. Intihanya, lahirlah situasi dimana hati menjadi tidak tenang. Berlakunya buruk sangka atau pergaduhan sesama insan, malah boleh menjurus kepada perkara yang lebih buruk lagi. Na'uzubillah!

Maha Pengasih dan Penyayang Allah kepada hambanya, Dia datangkan setiap perkara dengan pasangannya. Hawa bersama Adamnya, langit bersama buminya, pantai bersama lautnya, lagu bersama iramanya. Begitulah juga dengan penyakit, Allah hadirkan penawar sebagai pasangannya. Subhanallah!

Dalam perkongsian tersebut, Puan Anita turut kongsikan 3 cara untuk mengubati hati yang diserang barah hasad ini. Penawarnya ialah:
  1. Membaca al-Quran
  2. Berpuasa
  3. Berzikir
Al-Quran itu terkandung didalamnya pelbagai kalamul jadid buat hamba-Nya yang beriman. Allah hadirkan pelbagai "ubat" agar kita kembalikan pergantungan pada Dia. Bagi merawat barah hasad ini, salah satu daripadanya, Dia hadirkan sepotong ayat untuk dijadikan amalan buat kita semua. 

Mafhumnya: Dan Kami turunkan dari Al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
(Al-Isra' : 82)


SAYANG ALLAH

Letakkan tapak tangan dekat dengan hati. Bisikkan pada diri ayat tersebut. In shaa Allah, moga dengan kuasa-Nya, titik-titik hitam hasad itu gugur dan mendekatkan lagi hubungan kita pada Allah S.W.T. Selain daripada itu, Puan Anita turut kongsikan satu tips tentang bagaimana untuk hadirkan rasa cinta pada Dia.

Sepertimana si isteri mencintai sang suami, rasa cinta itu antaranya dizahirkan dengan kata-kata. Tapi, adakah kita lakukan hal yang sama pada Allah? Begitulah yang dipersoalkan oleh Puan Anita  pada sahabat-sahabat muslimat yang hadir. Sebagai penceramah, Puan Anita sendiri telah mengetuai sesi 'sampaikan cinta pada Dia'. Seluruh ahli dewan bersama-sama meluahkan bait-bait cinta pada Yang Khaliq. Bait-bait seperti "Saya sayang Allah" dan "Aku rindu Allah" diulang-ulang beberapa kali dan diakhiri dengan doa agar diberi keimanan yang kukuh.

Friday Wisdom edisi 8 Mac 2013 melabuhkan tirainya tepat jam 1.40PM.

(ANIS IZZATI BT AB FAUZAN)
Unit Informasi & Kaunseling,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...