Perasmian Kempen Mahasiswa Anti Valentine's Day |
Pada 3 Februari 2013, Sahabat
Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menghantar wakil ke
program Konvensyen Pendakwah Muda IPT Asean 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama
Yayasan Taqwa, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Sekretariat
Pendakwah Muda Malaysia, Karangkraf dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
SAHAM UMP telah diwakili oleh
Nornajihah Binti Mohd Ali (Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Gambang
merangkap Exco Kepimpinan & Akademik SAKURA), Nur Amirah Izzati Binti Jaafar
(Timbalan Exco Dakwah & Kepimpinan kampus Pekan merangkap Exco Informasi
& Kaunseling SAKURA) serta Nurul Najihah Binti Che Razali (wakil SAKURA).
Program yang telah dilaksanakan
selama sehari dengan bertemakan "Belia Islam Pemangkin Transformasi
Ummah" bertujuan menyuburkan budaya integriti dan integrasi dalam kalangan
pemimpin pelajar di peringkat kampus, disamping memupuk barisan kepimpinan yang
bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma yang akan melonjakkan nama negara di
masa hadapan.
Bertempat di Dewan Kuliah Pusat USIM,
program dimulakan dengan ucaptama oleh Professor Dato’ Dr. Sidek Baba
(Professor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sekitar jam 9 pagi. Beliau
mengingatkan peserta untuk sentiasa bersabar dalam berdakwah dan tidak menjadi
golongan yang melampau seperti mengkafirkan orang. Beliau juga turut
mengingatkan bahawa para pendakwah perlu menjalankan misi dengan bijaksana dan tidak
mengikut kata hati. Selain itu, pendakwah muda adalah generasi penyambung dan perlu
memiliki ilmu fundamental Islam dengan pengalaman berjemaah (berorganisasi)
yang sifatnya terbuka untuk menyantuni mad'u.
Seterusnya, kertas kerja yg
bertajuk "Pendakwah Muda Sebagai Juru Bicara Ummah: Peluang dan Halangan"
telah dibentangkan oleh mantan mufti Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Zaidi Bin Ramly.
Beliau menyatakan bahawa untuk menjadi pendakwah perlu ada ilmu asas Islam,
ilmu khusus dan kemahiran. Selain itu, penggunaan media baru dan teknologi
kreatif juga penting dalam mendekati golongan muda. Prof. Madya Dr. Abu Hassan
berkata, "Media Islam adalah media ar-Risalah; iaitu suatu proses
mengkomunikasikan informasi melalui medium-medium media sama ada medium tradisi
seperti akhbar, radio dan televisyen atau medium baru misalnya blog dan media
sosial seperti Facebook dan Twitter dengan pelbagai isi kandungan yang sarat
dengan muatan dan sosialisasi nilai-nilai Islam. Media Islam sebagai ar-Risalah
boleh dikatakan sebagai ‘crusade media’ yakni media yang memperjuangkan
nilai-nilai tertentu, yakni nilai-nilai Islam. Media Islam akan mengembangkan teras pemikiran dan perasaan Islam iaitu
amar ma’ruf nahi munkar”.
Program ini turut diserikan dengan penampilan istimewa Imam Muda hafiz,
Sham Kamikaze & Ana Raffali dengan forum yang bertajuk “Dakwah Itu Seni".
Penceramah jemputan dari Singapura iaitu Tuan Haji Adnan Bin Abd Hamid dan
indonesia, Encik Akmal Salim Ruhana turut hadir untuk berkongsi pengalaman
dalam melaksanakan dakwah di negara masing-masing.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’
Haji Ali Bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM mewakili Yang Berbahagia
Dato’ Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM sekaligus melancarkan Kempen
Mahasiswa Menolak Hari Valentine’ s Day.
(NORNAJIHAH BINTI ALI)
Unit Kepimpinan dan Akademik,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
No comments:
Post a Comment