Tuesday 26 March 2013

Bengkel Membuat Kek


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada 16 dan 17 Mac 2013, Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA) Sahabat Masjid (SAHAM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Kolej Komuniti Paya Besar telah berjaya mengadakan program sulungnya iaitu Bengkel Membuat Kek yang bertempat di Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang. Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan SAKURA kepada siswi UMP disamping mengeratkan lagi ikatan persaudaraan antara ahli SAKURA itu sendiri dengan siswi UMP sama ada muslim mahupun non-muslim. Alhamdulillah, sasaran untuk mendapatkan 30 orang siswi menyertai program ini tercapai dengan jayanya. Bengkel ini dibahagikan penyertaannya kepada dua kumpulan, iaitu siswi Gambang dan siswi Pekan seramai 15 orang bagi setiap kampus. Sambutannya amat memberangsangkan bagi kedua-dua kampus.


TA'ARUF

Program berlangsung selama 7 jam iaitu dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Individu yang terlibat memberi khidmat tunjuk ajar kepada para peserta terdiri daripada tenaga pengajar Kolej Komuniti Paya Besar itu sendiri. Mereka adalah En. Mohd Afzhal Bin Abd Wahab dan Cik Nurul Jih Bt Joyosman. Antara pengisian bengkel pada hari tersebut ialah peserta diajar untuk menyediakan kek cawan dan teknik-teknik menghias kek tersebut. Sebelum bengkel bermula, peserta telah diberikan resipi kek blueberry dan coklat serta demonstrasi terlebih dahulu sebelum masing-masing diagihkan kepada 5 orang setiap kumpulan untuk membuat kek.


UKHUWAH

 Para peserta juga telah didedahkan kepada tips-tips yang berguna mengenai penghasilan kek cawan. Seusai makan tengah hari dan solat Zohor secara berjemaah, para peserta telah berkumpul untuk modul yang telah disediakan oleh AJK program. Melalui modul ukhuwah, para peserta telah diberi peluang untuk berta’aruf antara satu sama lain secara berkumpulan. Modul seterusnya, ialah ‘Resepi Kejayaan’ dimana para peserta didedahkan dengan cara memasak menurut perspektif Islam melalui perkongsian mengenai amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. ketika memasak.


PENGHARGAAN

Sebagai penutup, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua peserta dan AJK yang terlibat dalam program bengkel kek ini. Tidak dilupakan juga individu-individu dari Kolej Komuniti Paya Besar yang turut bekerjasama menjayakan bengkel ini. Di kesempatan ini, saya Nor Hidayah Bt Mohd Khairi, pemegang portfolio Setiausaha Agung bagi SAKURA merangkap pengarah bagi program Bengkel Membuat Kek ini memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan sepanjang program ini berlangsung. Yang baik, datangnya dari Allah, yang buruk juga datangnya dari Dia, tetapi disandarkan pada diri yang lemah ini. Dengan harapan, semoga ikatan ukhuwah yang terjalin antara peserta yang hadir akan berkekalan selamanya. Harapan daripada pimpinan SAKURA, semoga siswi UMP dapat terus menyokong program yang akan dibawakan SAKURA pada masa hadapan.

Nabi S.A.W. pernah bersabda; "Dan hendaklah kamu saling berpesan-pesan agar sentiasa berbuat baik kepada para wanita. Sesungguhnya mereka dicipta daripada tulang rusuk yang bengkok, dan tulang rusuk yang paling bengkok itu merupakan tulang rusuk yang paling atas, jika kamu berkeras untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya, tetapi jika kamu membiarkannya maka ia akan terus bengkok. Maka berpesan-pesanlah kamu agar sentiasa berbuat baik kepada para wanita" (Riwayat al-Bukhari).

Sekian, wallahu’alam. Salam mujahadah dan salam perjuangan buat semua insan. 

(NOR HIDAYAH BINTI MOHD KHAIRI)
Setiausaha Agung
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...