Sunday 17 February 2013

Ucapan Pengerusi SAKURA


Assalamualaikum w.b.t.

Uniknya Allah s.w.t menciptakan wanita bermula dari rusuk kiri seorang lelaki. Dijadikan sebagai  isteri Nabi Adam dengan mahar selawat kepada Rasulullah s.a.w. untuk menemani kesunyian baginda di syurga. Lantaran permulaan penciptaan wanita sebagai penguat sang lelaki, wanita dicipta dengan pelbagai keistimewaan yang mana emosinya tak terjangkau, meluap-luap sehangat lava gunung berapi yang pada masa yang sama boleh menjadi sedingin ais di kutub.

 Gelaran bagi seorang wanita, “peniup obor semangat” yang berdiri di belakang tokoh perjuangan bukan semata-mata gelaran halwa bicara. Tetapi fitrahnya jelas sebagaimana hangatnya darah merah Sumayyah yang menjadi mahar ke syurga demi mempertahankan kalimah Lailahaillallah. Pengorbanan Sumaiyyah menjadi mercu tanda sejarah, pencetus syahid di jalan Allah. Teladanilah Khaulah sebagai pengobar janji perlawanan, mencetak anak-anak peminang bidadari. Menyelongkar kehebatan Aishah sebagai serikandi ilmu dengan sehamparan ingatan yang sangat menggugah, menguasai Al-Quran dan persoalan agama hingga menjadi tarikan pesona terbesar sebagai galeri ilmu yang terus menyuluh pencerahan. Ummu Nusaibah Binti Kaab mengotakan janjinya dengan menjadi perisai Nabi SAW di medan tempur Uhud (3 Hijrah) yang melakar sejarah itu. Nusaibah adalah seorang muslimat yang turut berbaiah dalam peristiwa Perjanjian Aqabah yang kedua dan tidak pernah lelah berjuang dengan barisan kaum muslimin.

Sahabat-sahabat yang disayangi Allah,

Andai pemata itu mahal, mahal lagi harga seorang wanita. Andai mawar itu harum, harum lagi motivasi dari seorang wanita. Kerana wanita itu lembut, hati yang keras boleh mencair, hati yang panas boleh bertukar sejuk dengan sebaris bicara seorang wanita. Bermula dengan hanya merawat tentera yang cedera, menyiapkan bekalan makan, minum dan pakaian para perindu syahid, mengasuh anak-anak bakal khalifah, memberi kata motivasi sehinggalah wanita berperanan sebagai pemikir dan penggerak ummah. Tangan itulah yang menghayun buaian dan tangan itu jua yang mampu mengoncang dunia.

Selaras dengan matlamat melahirkan wanita yang melengkapi ciri-ciri wanita solehah, SAKURA ditubuhkan. SAKURA pada asalnya adalah cetusan idea daripada kesedaran saf kepimpinan Sahabat Masjid (SAHAM) akan peri pentingnya membina jambatan penghubung antara beliawanis  Universiti Malaysia Pahang yang mana mempunyai pelbagai ragam yang luar biasa kehebatannya. Apabila digabungkan pemikiran-pemikiran beliawanis ini, pasti wujudnya sebuah fenomena. Justeru SAKURA berfungsi sebagai platform untuk beliawanis di seluruh kampus UMP berkumpul, beramah mesra, menonjolkan bakat dan mengetengahkan potensi yang ada dan akhirnya menyedari peranan wanita sangat penting dan bernilai dalam agenda membangunkan agama, bangsa dan negara. Bukan sekadar meraikan wanita-wanita muda terutamanya muslimah,Sakura juga berperanan menyedarkan siswi terhadap isu semasa dan pentingnya mahasiswi dalam menyokong agama dan negara.  

Seperti mamanjat tembok, seorang menghulur, seorang memangku dan seorang memanjat,masing-masing mempunyai peranan sendiri kerana kita manusia hidup untuk saling melengkapi. Sesuatu kejayaan tidak mungkin berhasil dengan hanya bersendirian seperti bertepuk sebelah tangan pasti tidak berbunyi. Pembinaan ukhwah adalah akar kepada sebuah penghijrahan diri sebelum dapat membuat transformasi sepenuhnya. Sakura berperanan sebagai titi penghubung antara hati-hati wanita kerana dengan terbinanya ukhwah ini, jalan yang sukar terasa mudah, jiwa yang kosong akan terisi seterusnya menemukan jawapan bagi setiap persoalan yang dicari. Hidayah Allah pasti akan datang kepada insan-insan yang sentiasa berusaha mencari.

Tuntasnya, saya sebagai pengerusi unit Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA) berharap kewujudan Sakura yang keahliannya terbuka kepada semua siswi bergelar muslim ini dapat menjadi pemangkin perubahan mahasiswi dari segi mental, rohani dan jasadi. Justeru,kami sangat mengalu-alukan penyertaan dari semua mahasiswi. Sokongan dan idea penambah baikan amat kami hargai.

(AMIRA SHAZWANI BINTI RIDZUAN)
Pengerusi,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...