Sunday 17 February 2013

Ucapan Timbalan Pengerusi SAKURA


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur atas nikmatnya yang tidak terhingga, akhirnya blog SAKURA (Sayap Kiri Ummah Rabbani ) dapat digerakkan. Semoga blog yang dibina ini dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh kaum wanita khususnya warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) . Blog ini merupakan satu inisiatif yang kami jalankan sebagai medium perbincangan dalam isu semasa terutamanya berkaitan wanita.

Wanita pemangkin kecemerlangan ummah”. Begitulah muqaddimah ucapan saya buat sahabat sejantina saya sekalian . Sedarkah kalian wanita memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi yang cemerlang ? Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, begitu juga dengan penciptaan wanita. Kalian mempunyai kelebihan tersendiri berbanding lelaki dan dengan kelebihan yang kalian miliki mampu mencetus transformasi generasi. Bak kata pepatah tangan yang mengayun buaian mampu menggegar dunia. Ramai yang berbicara kaum wanita merupakan kaum yang lemah. Ya , memang tidak dinafikan kudrat fizikal kita lebih lemah berbanding lelaki, namun, dari sudut emosi, kasih sayang, ketelitian, kaum kita jauh ke hadapan berbanding kaum adam. Disebabkan kelebihan yang dimiliki ini Allah menganugerahkan kepada  wanita dalam urusan melahirkan anak dan pendidik yang terbaik.

Sahabat-sahabiah sekalian,

                Masih ingatkah lagi kita penindasan wanita yang berlaku pada zaman jahiliyyyah. Kaum kita ditindas , bayi perempuan ditanam hidup-hidup untuk menjaga maruah kerabat dan menganggap perempuan akan membawa sial dan malapetaka bagi keluarga. Alhamdulillah, setelah kedatangan Islam, martabat wanita diangkat tinggi dan menghapuskan segala sistem diskriminasi jahiliyyah. Islam datang sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh manusia. Namun, malangnya dasawarsa ini kaum kita diesploitasi oleh barat  dalam iklan kereta , sebagai ganjaran pertaruhan ,  dan untuk hiburan. Kita juga terpedaya dengan pelbagai fesyen melampau dari barat hingga hilang perasaan malu yang harus ada bagi seorang wanita. Sampai bila kita mahu fenomena ini terus berleluasa? Ayuh wanita, bangkitlah bersama Islam. Islam telah menaikkan martabatmu, menjaga hakmu dalam masyarakat dan menunjukkan jalan yang terbaik buatmu. Usah diagungkan budaya barat yang cuba menjajah mindamu.

Kaum hawa sekalian,

                Kembalilah pada fitrah kejadianmu. Terdidik wanita, terdidiklah generasi. Untuk mendidik generasi, perlu bermula dengan mendidik dirimu. Kaum kita harus ada ilmu. Perlu mempunyai akhlak yang terpuji, mencontohi akhlak Rasulullah, kerana dari kelembutan hatimu akan melahirkan manusia baru yang berakhlak terpuji sepertimu. Dirimu aset yang sangat penting dalam pembentukan ummah.

                Kami di pihak SAKURA akan berusaha menganjurkan program pendekatan khusus untuk mahasiswi sekalian bagi mengupas isu yang berkaitan dengan wanita dan fiqh kerahsiaan wanita. Kaum wanita kaum yang unik dan penuh dengan kerahsiaan. Seperti kata Detective Conan “Secret make a woman, woman”. Beruntunglah menjadi wanita, kerana dirimu sangat berharga. Hargai dirimu, jaga akhlakmu, jaga maruah sebagai wanita.

Sekian.

(NURDIYANA BINTI ZAHED)
Timbalan Pengerusi,
Sayap Kiri Ummah Rabbani (SAKURA)
Sahabat Masjid (SAHAM) Sesi 12/13
Universiti Malaysia Pahang (UMP)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...